fbpx

Yayasan Perak belanja anak yatim baju raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yayasan Perak membelikan baju raya kepada 50 orang anak-anak yatim dari Lenggong di Gudang Tekstil Jakel di Greentown Ipoh hari ini. - Foto IHSAN YAYASAN PERAK

IPOH – Seramai 50 orang anak yatim berusia antara 4 hingga 17 tahun dari sekitar Lenggong diraikan Yayasan Perak apabila mereka dibawa membeli-belah pakaian hari raya di Gudang Tekstil Jakel di Greentown Ipoh hari ini.

Yang Di-Pertua Baiduri mewakili Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin berkata, Program Gema Lebaran Yayasan Perak bersama anak yatim tersebut telah berjaya diadakan bagi tahun keempat berturut-turut.

“Program ini bertujuan memberikan keceriaan kepada anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Seramai 50 orang anak-anak berusia di antara 4 hingga 17 tahun dari sekitar Lenggong telah dibawa untuk memilih sendiri jenis dan warna pakaian raya mengikut cita rasa mereka di Gudang Tekstil Jakel, Greentown Ipoh,” katanya di sini hari ini.

Pada program tersebut, Aezer bersama Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan turut meluangkan masa membantu anak-anak yatim tersebut memilih pakaian raya seterusnya menyampaikan set pakaian tersebut kepada mereka.

Sementara itu, Aezer berkata, program yang telah dilaksanakan saban tahun itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan keluarga serta membantu menyempurnakan persiapan menjelang hari raya.

Beliau turut menghargai usaha Yayasan Perak dan pihak Jakel Ipoh bagi menyediakan pakaian raya yang berkualiti dan selesa kepada anak-anak ini.

Salah seorang penerima, Muhammad Nur Salam Astar, 8, berkata, dia berasa amat gembira kerana dapat memilih sendiri baju Melayu mengikut warga digemarinya selain songkok untuk dipadankan dengan busana tersebut.

“Saya memang berasa amat gembira kerana boleh memilih sendiri baju raya. Sekarang memang rasa tidak sabar lagi untuk menyambut Aidilfitri dengan pakaian serba baru ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI