PETALING JAYA – Pengacara dan pelakon sensasi, Elly Mazlein dipuji peminat apabila mendoakan kesihatan Faye Kusairi yang tiba-tiba diserang Bell Palsy (lumpuh pada sebahagian muka) pada Jumaat lalu.
Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 40, memuat naik hantaran dalam Instagramnya semalam sambil menitipkan doa kepada seseorang.
Dalam hantaran tersebut, Elly atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom tidak menulis kepada siapakah perkara berkenaan ditujukan.
Bagaimanapun, rata-rata peminatnya yakin doa yang dititipkan Elly ditujukan khas buat Faye yang kini masih belum pulih sepenuhnya meskipun sudah dibenarkan pulang ke rumah.
“Tiada tepukan, tiada hilai tawa. Hanya yang ada, doaku buatmu. Semoga dipermudahkan,” tulis Elly sambil menambah pada ruangan kapsyen ‘semoga cepat sembuh’.
Tindakan pengacara program Lagu Cinta Kita 2 itu menuai pujian peminat dengan menyifatkan dirinya seorang yang baik hati.
“Amin. Terbaik Kak Kepom. Orang bagi tahi, Kak Kepom bagi bunga. Doa yang baik-baik saja untuk di sana. Semoga cepat baik dan dipermudahkan segalanya,” tulis seorang peminat.
Beberapa tahun lalu, peminat sedia maklum kemelut Elly dengan bekas suaminya pengarah drama Azmi Hatta yang kemudian berkahwin dengan Faye menjadi hangat apabila dia didakwa tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa. – K! ONLINE