fbpx

Jurujual mengaku tidak bersalah pandu dalam keadaan mabuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yugeswaran (dua dari kiri) hadir ke Mahkamah Majistret Tapah hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk di Kilometer 355.4 Lebuhraya Utara Selatan dekat Tapah bulan lalu.

TAPAH – Seorang jurujual yang videonya tular kerana memandu melawan arus di Kilometer 355.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk.

Tertuduh, T. Yugeswaran, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, Yugeswaran didakwa memandu kereta dalam keadaan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 191 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) darah melebihi tahap yang dibenarkan iaitu 50mg/100ml darah.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Kilometer 355.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pada pukul 6 petang 11 November lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda sehingga RM30,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen tidak kurang dua tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amanina Zulkefli manakala tertuduh diwakili peguam bela, Amani Williams Hunt Abdullah.

Nur Amanina memohon mahkamah mengenakan jaminan yang tinggi iaitu RM30,000 memandangkan kes mabuk dan melawan arus kerap kali berlaku kebelakangan ini selain video yang dirakam orang awam itu viral di media sosial.

Amani bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah memandangkan keluarga termasuk seorang anak yang berusia empat tahun.

Mohd. Harith kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kosmo! pada 13 November lalu melaporkan, gara-gara mahu meloloskan diri dari sekatan jalan raya, seorang lelaki sanggup memandu melawan arus dalam kejadian di Kilometer 355.4, Lebuh Raya Utara-Selatan.

Tindakan melulu lelaki berusia 34 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Axia itu telah menyebabkan kemalangan dua kenderaan lain dan mengakibatkan seorang cedera.

Dalam kejadian tersebut, suspek memandu melawan arus sejauh 1.4 kilometer.

Difahamkan, lelaki itu dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Bidor untuk menyambut perayaan Deepavali. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI