PERKARA yang paling merisaukan bagi Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menjelang Piala Thomas bulan depan adalah faktor kecederaan yang melanda pemain perseorangan lelaki negara.
Rexy berharap insiden yang menimpa skuad lelaki kebangsaan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) tidak berulang ketika membawa misi besar di Chengdu, China yang akan bermula dari 27 April hingga 5 Mei nanti.
Sewaktu BATC bulan lalu, kem badminton lelaki negara dalam keadaan cemas apabila perseorangan lelaki, Ng Tze Yong mengalami kecederaan belakang dan Lee Zii Jia pula terpaksa direhatkan.
“Jika kita berdepan situasi seperti itu sememangnya siapa yang tidak risau kerana kita mengharapkan mereka semua dalam keadaan cergas. Jika cakap saya tidak risau itu tidak betul.
“Jadi, menjelang Piala Thomas nanti saya harap Zii Jia dalam keadaan baik. Kecederaan yang menimpa Zii Jia di Terbuka Switzerland tidak terlalu teruk.
“Selain Zii Jia kita juga ada Justin Hoh, tetapi kita akan pantau keadaannya yang kini menyertai Cabaran Antarabangsa Thailand minggu ini. Kita juga ada lagi pilihan iaitu Leong Jun Hao dan Eogene Ewe,” katanya.
Ketika ditanya mengenai beregu lelaki, Rexy mengakui ‘pening kepala’ untuk menentukan pemilihan pemain dibawa ke Chengdu kerana semuanya dalam keadaan terbaik.
Selain beregu No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang pasti tersenarai, tiga lagi pasangan dalam penilaian barisan kejurulatihan iaitu Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.
“Sukar untuk menamakan pemain beregu kerana semuanya ada peluang untuk disenaraikan. Ketika ini, Izzuddin-Sze Fei menampilkan persembahan baik pada kejohanan berpasukan.
“Haikal-Hon Jian pula walaupun pernah bermain di BATC 2024 baru-baru ini, adakah mereka bersedia beraksi pada tahap setinggi Piala Thomas?
“Kami akan putuskan dalam mesyuarat nanti sama ada bawa lima pemain perseorangan, lima beregu atau empat perseorangan, enam beregu untuk Piala Thomas kali ini,” kata Rexy.