fbpx

Sultan Selangor mahu MB, pemimpin politik selami rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa simpati terhadap keadaan kehidupan rakyatnya terkesan akibat wabak Covid-19.

Sultan Sharafuddin bertitah, gejala wabak tersebut telah menjejaskan ekonomi yang teruk bukan sahaja kepada negara kita malah kepada seluruh di dunia ini.

Titah baginda, situasi itu mengakibatkan ramai di kalangan rakyat negeri ini yang telah terjejas termasuk kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

“Beta sentiasa mengambil berat dan memantau masalah rakyat negeri ini dengan sering mengingatkan Menteri Besar Selangor dan kerajaan Beta agar menyelami masalah rakyat dan mencari jalan bagi mengatasi masalah ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat.

“Pemimpin politik juga diseru untuk turun bagi mengenalpasti masalah rakyat dan berusaha keras ke arah membantu mengatasi masalah mereka terutama mereka yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19 ini,” titah baginda sempena Hari Keputeraan yang ke-75 menerusi laman rasmi Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan merasakan segala penderitaan rakyat dan sentiasa inginkan kesejahteraan dan kemakmoran rakyat negeri ini terpelihara.

Justeru, titah baginda, supaya rakyat terus bersabar dan tenang dan sentiasa berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar musibah yang menimpa ini diangkat dan dikembalikan semula kehidupan kita seperti sediakala.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin bertitah, telah mengambil keputusan untuk tidak mengadakan sebarang istiadat semasa Hari Keputeraan Baginda pada tahun ini.

Namun, baginda menitahkan Istiadat Penganugerahan dan Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor akan dilaksanakan pada tarikh yang akan ditetapkan bergantung kepada keadaan semasa wabak Covid-19 ini.

“Beta ingin mengucapkan penghargaan kepada para doktor, jururawat, kakitangan hospital serta barisan hadapan yang telah melaksanakan tugas mereka tanpa mengenal penat-lelah bagi merawat mereka yang dijangkiti dengan wabak Covid-19 serta mencegah penularan wabak ini.

“Bagi menghargai jasa mereka yang telah berkorban ini, Beta telah berkenan untuk menganugerahkan kepada mereka dengan bintang kebesaran dan pingat-pingat Negeri Selangor,” titahnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI