PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan jangkaan fasa peralihan monsun bermula 29 Mac 2024 dan berterusan sehingga Mei 2024.
MetMalaysia dalam kenyataannya mengatakan keadaan cuaca ini akan berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak,” katanya.
Menurut MetMalaysia, keadaan cuaca panas dan kering yang sedang berlaku di kebanyakkan tempat di seluruh negara dijangka beransur pulih pada pertengahan April kerana bermulanya fasa peralihan monsun ini.
Berdasarkan kepada ramalan peralihan monsun itu, kemungkinan sebahagian umat Islam di negara ini akan menyambut Aidilfitri pada 10 April depan dalam keadaan banjir.
Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan lebih peka dengan ramalan dan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia menjelang tempoh ini. – KOSMO! ONLINE