KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan Projek Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) dijangka dapat digunakan oleh orang ramai pada tahun 2027.
Memaklumkan perkara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sehingga 29 Februari lalu, purata kemajuan setiap sub-pakej adalah 42.43 peratus berbanding 39.52 peratus dalam jadual.
Malah katanya, jajaran Lebuh Raya Rakyat (LRR) yang bermula di Bukit Tiu, Machang ke Kampung Berangan Mek Nab yang merupakan salah satu daripada lapan sub-pakej KBKK juga sedang dilaksanakan.
“Kemajuan semasa sub-pakej KBKK Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab adalah 28.08 peratus berbanding 28.06 peratus jadual.
“Untuk makluman, kerja-kerja pembinaan sedang rancak di tapak melibatkan kerja-kerja tanah, kerja-kerja perparitan, kerja-kerja struktur yang melibatkan pembinaan jambatan dan Vehicular Arch Culvert (VAC).
“Projek ini dijangka dapat disiapkan pada Ogos 2025,”katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Mohammad Fatmi Che Salleh yang mahu kerajaan menyatakan perkembangan Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai yang melibatkan pakej ‘Lebuh Raya Rakyat’.
Terdahulu, beliau memaklumkan, prohek KBKK adalah sebuah projek pembinaan lebuh raya tanpa tol yang menghubungkan bandar Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan.
“Projek Jalan Persekutuan ini adalah melibatkan kerja-kerja membina jalan baharu yang direkabentuk dengan menggunakan Piawaian Arahan Teknik Jalan JKR R5 terkini iaitu jalan Berkembar Empat Lorong (K2-2) dual-carriageway.
“Terdapat tiga pakej dan lapan sub-pakej di dalam projek ini dengan panjang jalan adalah 70.4 kilometer dan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM2.3 bilion,”ujarnya.-KOSMO ONLINE