PETALING JAYA – Ramai perantau dari Kelantan terutama yang menetap di Lembah Klang merancang untuk mengambil cuti awal beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi mengelak menempuh kesesakan hampir 20 jam.
Menerusi perkongsian perantau dari Kelantan, masing-masing merancang untuk mengambil cuti bermula 4 April ini kerana tidak sanggup memandu dalam tempoh yang lama lebih-lebih lagi atas faktor usia.
“Ramailah geng Kelantan balik 6 April, kena tukar rancangan balik awal lagi. Memanglah nak suasana raya, tapi tak kuat tua-tua pandu seorang nak hadap 20 jam. Beginilah anak perantau,” kata pengguna TikTok Nurulnha85.
“Insya-Allah, paling awal 5 April selepas suami habis kerja gerak terus dari Kajang ke Gua Musang,” kata sue270587.
“Kita balik 7 April malam. Pertama kali duduk luar Kelantan. Tak tahu lagi rasa (pengalaman) sesak jalan,” kata nrfyzx.
Dalam masa sama, ada juga yang reda menghadap kesesakan jalan raya untuk pulang beraya ke Kelantan sekali gus menganggap ia satu keseronokan meraikan Aidilfitri.
“Aku tak kira sesak 20 jam ke, 30 jam pun, aku redah. Kelate (Kelantan) tunggu daku balik,” komen yiesabri3.
“Kalau dulu tak faham tengok orang yang puluh-puluh jam balik Kelantan. Bila dapat orang sana (suami Kelantan), baru tahu perasaan dapat tengok muka mak pak adik-beradik bila dah hadap belas-belas jam dalam kereta,” kata Syu. – KOSMO! ONLINE
@susu_beng Musim dio doh dih 🤏🤣 #fyp #pantaitimur #anokkelate #ejahfypskali ♬ bunyi asal – dikir Kelate Kito