KLANG – Kehadiran serangga perosak iaitu Black Soldier Fly yang banyak di atas sebuah kapal membongkar 66 buah kontena susu getah beku disyaki berperosak di tengah laut berhampiran Pelabuhan Klang, di sini baru-baru ini.
Kapal tersebut ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pukul 10 pagi pada 30 November lalu ketika ingin berlabuh di pelabuhan berkenaan.
Pengarah MAQIS Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, maklumat mengenai serangga perosak pada kontena itu dimaklumkan oleh kapten kapal berkenaan.
Katanya, pihaknya telah mengarahkan syarikat tersebut untuk melakukan fumigasi terlebih dahulu sebelum kapal tersebut berlabuh di Pelabuhan Klang Barat.
“Hasil pemeriksaan kontena itu mendapati membawa muatan seberat 577,708 kilogram susu getah beku dianggarkan bernilai RM 4.8 juta.
“Barangan tersebut diimport dari Ghana oleh tiga buah syarikat untuk proses membuat tayar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan mendapati syarikat-syarikat berkenaan mempunyai permit pengimportan susu getah beku.
Tambah beliau, ketiga-tiga syarikat kini disiasat atas kesalahan Seksyen 14 (a) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
“Ini berikutan menjadi satu kesalahan mengimport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih atau mikroorganisma yang mempunyai bahan perosak dan berpenyakit.
“Sekiranya disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.-K!ONLINE