fbpx

Pemilik, pengarah syarikat terlibat sindiket seludup rokok haram direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah dan pemilik sebuah syarikat direman berikutan disyaki terlibat penyeludupan arak serta rokok di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi individu membabitkan pemilik dan pengarah syarikat kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan rokok serta arak secara haram melalui pintu masuk negara.

Perintah reman selama tiga hari sehingga 28 Mac 2024 terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai pengumpul akaun keldai bagi pihak sindiket digunakan bagi membayar wang rasuah kepada penjawat awam terlibat.

Katanya, bayaran rasuah itu bagi memberi pelepasan kontena yang mengandungi rokok dan arak tanpa melalui pemeriksaan.

“Mereka juga dipercayai turut menjalankan kegiatan haram lain seperti perjudian secara online dan menjadi orang tengah bagi mencari khidmat ‘forwarding agent’ bagi kegunaan sindiket haram di negara ini.

“Sebagai orang tengah, kedua-dua suspek disyaki turut membayar wang antara RM500 hingga RM1,000 kepada mana-mana individu yang boleh memberikan dokumen pengenalan diri untuk didaftarkan sebagai pemilik kepada syarikat palsu (bogus),” katanya hari ini.

Sumber berkata, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) turut menahan 14 lagi individu terdiri daripada 12 penjawat awam dan pemilik serta pengarah syarikat ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM semalam.

“Seramai 12 penjawat awam telah dibebaskan selepas keterangan mereka dirakam, manakala pemilik dan pengarah syarikat berkenaan telah ditahan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Dalam operasi khas yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM), sehingga kini SPRM telah menahan 34 penjawat awam dan sembilan orang awam yang dipercayai terbabit sindiket berkenaan sejak tahun 2018 hingga 2023.

Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’ dan juga melalui pengurup wang.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman dua suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI