fbpx

Siasatan Tun M: Tiada komen, periksa fakta dahulu – Azam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran CCoE dengan kerjasama Blackberry di sini hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

CYBERJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki enggan mengulas dakwaan konon pihaknya menyasarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung tuduhan rasuah serta salah laku.

Azam memaklumkan beliau masih belum mendapat sebarang gambaran berhubung dakwaan oleh dua orang anak bekas Perdana Menteri itu dalam sesi temubual bersama agensi berita asing, baru-baru ini.

“Tiada komen mengenai dakwaan itu ketika ini. Biar saya periksa fakta dahulu dan akan keluarkan kenyataan kemudian,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber Blackberry di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan, dua anak Dr. Mahathir iaitu Tan Sri Mokhzani dan Mirzan mendakwa bapa mereka menjadi sasaran dan suspek utama oleh SPRM.

Mereka juga mendakwa telah diarahkan SPRM untuk membantu dalam siasatan terhadap Dr. Mahathir yang kini berusia 98 tahun.

Mokhzani dan Mirzan mengeluarkan kenyataan itu pada sesi temu bual dengan Bloomberg pada 23 Mac lalu di Kuala Lumpur.

Jelas Mokhzani lagi, beliau ada meminta butiran penyiasatan terhadap bapa mereka namun, ia tidak dilayan SPRM.

Mokhzani pada sesi sama turut mengakui sukar mengingati semula asetnya pada masa lalu dengan tepat memandangkan ia dalam bentuk fizikal dan bukannya digital.

Pada Januari lalu, SPRM mengarahkan Mokhzani dan abangnya Mirzan mengisytiharkan aset mereka sejak 1981, iaitu pada tahun pertama Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Sebelum ini, Dr. Mahathir mendakwa tujuan SPRM menyiasat anaknya, Mirzan adalah untuk pengumpulan bukti bagi mendakwanya di mahkamah.

Dr. Mahathir juga mempertikaikan tindakan SPRM yang meminta Mirzan untuk mengisytiharkan aset sejak 42 tahun lalu jika mahu mengelak dikenakan hukuman penjara. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI