fbpx

Melaka wujud ladang bawang diusahakan golongan asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKMAL menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Jasin kepada 308 penerima asnaf di Lipat Kajang, Melaka, hari ini. - foto SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

JASIN – Kerajaan negeri akan membangunkan ladang bawang untuk diusahakan oleh golongan asnaf sebagai inisiatif membantu meningkatkan taraf hidup, sekali gus keluar daripada paras pendapatan garis kemiskinan (PGK), pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka Dr. Akmal Saleh berkata, perkara itu bagaimanapun masih diperingkat penelitian termasuk mengenal pasti tanah milik kerajaan negeri yang tidak digunakan.

Katanya, sebagai permulaan, peluang itu akan dibuka kepada 50 peserta yang terdiri daripada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Syaratnya, asnaf ini mestilah berusia bawah 50 tahun dan masih sihat supaya boleh mengikuti latihan pertanian secara percuma dari mula sampai dapat menuai bawang sendiri.

“Modal mereka cuma kudrat kerana semua perbelanjaan awal akan diuruskan Pertubuhan Peladang dan hasil akan dibeli oleh agensi pelaksana lain termasuklah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutan (FAMA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Jasin kepada 308 penerima asnaf di Lipat Kajang, di sini, hari ini.

Tambahnya, antara lokasi awal dicadangkan untuk dibangunkan adalah di kawasan-kawasan lapang pencawang elektrik.

Ujar Akmal, cadangan itu turut disambut baik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang bersetuju sejumlah bajet disalurkan melalui Pertubuhan Peladang.

“Fokus utama kita adalah untuk mengurangkan bilangan asnaf di negeri ini, sebagai contoh hari ini ada 308 asnaf, mungkin tahun depan berkurangan kepada 200 orang kerana ramai yang sudah melepasi paras garis kemiskinan.

“Selain itu, inisiatif ini juga secara langsung dapat meningkatkan tahap sara diri (SSL) bawang negara yang masih rendah,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI