IPOH – Perdana Menteri yakin pelan pembangunan bersaiz mega di Perak mampu meletakkan negeri itu sebaris negeri lain di pantai barat Semenanjung Malaysia yang pesat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa berselindung berkata, Perak selama ini sedikit ketinggalan berbanding Selangor, Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dari segi pembangunan.
Beliau yakin kepimpinan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dapat mengubah keadaan itu.
Anwar menyebut beberapa contoh projek tumpuan seperti Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan pembinaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian di utara Perak mampu mengubah landskap negeri.
“Perak di pantai barat selama ini, agak sedikit terkebelakang. Tetapi mutakhir ini dengan kesungguhan Menteri Besar dan rakan-rakan beliau di negeri Perak terutama dengan program raksaksa ini, saya yakin insya-Allah akan mengangkat Perak di antara negeri utama dalam pertumbuhan ekonomi negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak 2024 Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.
Menurut beberapa data rasmi nasional tentang perkiraan ekonomi, Perak dilihat sentiasa diatasi oleh dua negeri jiran, Pulau Pinang dan Selangor.
Perak merupakan antara negeri terawal membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihanraya Umum Ke-15, dan kini mempertaruhkan Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk membangunkan negeri itu daripda pelbagai sudut merangkumi ekonomi serta sosial.
Anwar yang kini merupakan Ahli Parlimen Tambun dari Perak juga yakin, isu kemiskinan tegar di negeri tersebut akan dapat dinoktahkan malah beliau sendiri akan mengutarakan beberapa isu di Perak semasa mesyuarat jemaah menteri. – KOSMO! ONLINE