BARCELONA – Ketua jurulatih Juventus, Andrea Pirlo mengakui tidak terkejut dengan prestasi hebat Cristiano Ronaldo ketika membantu pasukan menewaskan Barcelona 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan G Liga Juara-Juara di Stadium Camp Nou awal pagi semalam.
Sebagai rekod, Ronaldo meledak dua gol ke atas pasukan tuan rumah sekali gus membuktikan dia masih memiliki kualiti berbanding musuh tradisinya yang juga kapten Barcelona, Lionel Messi yang agak tumpul pada perlawanan tersebut.
Kata Pirlo, pemain antarabangsa Portugal itu sememangnya sangat bersemangat untuk memberikan yang terbaik terutama memastikan pasukan meraih tiga mata sekali gus memintas Barcelona untuk menamatkan saingan di kedudukan teratas Kumpulan G.
“Semua orang tahu kualiti Ronaldo tetapi persembahannya pada perlawanan ini cukup memukau kerana dia sememangnya mahu membuktikan sesuatu ke atas seteru tradisinya yang dianggap sebagai antara pemain terbaik dunia, Lionel Messi.
“Justeru, saya tidak terkejut apabila dia berjaya menjadi nadi pasukan apabila menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti. Secara keseluruhan, saya anggap ini adalah perlawanan terbaik Juventus musim ini kerana semua pemain mengikut taktikal yang diarahkan,” katanya.
Sementara itu, Ronaldo percaya pasukan The Old Lady wajar diletakkan selaku pilihan utama dalam menamatkan badi kejuaraan Liga Juara-Juara yang kali terakhir dimenangi pada edisi 1996.
“Kemenangan ini menjadi bukti bahawa kami boleh mendominasi saingan Liga Juara-Juara musim ini kerana tiada apa yang perlu ditakutkan. Barisan pemain telah bekerja keras untuk memastikan karakter juara ada pada Juventus dan momentum itu perlu dikekalkan,” katanya. – AGENSI