fbpx

Ruangan ucapan Salam Perantauan cetus minat belajar di luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURALIA AFINA melanjutkan pengajian dalam bidang sains biologi di UCL, United Kingdom.

MENDAPAT tawaran melanjutkan pengajian di luar negara merupakan satu peluang yang tidak boleh dilepaskan oleh Nuralia Afina Mohd. Lani.

Ini kerana, sejak di bangku persekolahan, gadis berusia 23 tahun itu telah memasang impian untuk ke negara asing menuntut ilmu.

“Salah satu faktor membuatkan saya menanam hasrat untuk melanjutkan pengajian ke luar negara adalah kerana ruangan Salam Perantauan yang disiarkan di dalam akhbar.

“Ketika zaman persekolahan, saya sering melihat pelajar di luar negara memberi ucapan Ramadan dan Aidilfitri kepada keluarga mereka di tanah air.

“Ini telah menjadi inspirasi kepada saya untuk memasang impian belajar di luar negara,” katanya kepada iGen.

Untuk makluman, Nuralia Afina kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi di University College London (UCL) di United Kingdom.

Ketika ditanya sebab memilih melanjutkan pengajian dalam bidang biologi, Nuralia Afina yang berasal dari Padang Serai, Kulim, Kedah berkata, dia memilih bidang itu kerana adiknya.

Katanya, adik bongsunya berhadapan dengan masalah sindrom Down.

“Saya nak tahu dengan lebih mendalam tentang sindrom Down ini.

“Kemudian, melalui ilmu yang saya dapat ini, saya mahu bagi sesuatu kepada adik dan masyarakat.

“Apabila saya belajar dalam bidang ini dengan lebih mendalam, saya dapat lihat ada ruang yang kita boleh isi lagi terutamanya dari segi rawatan.

“Kita kena faham bagaimana benda ini berlaku terlebih dulu.

“Dari situ, kita boleh mengetahui apa yang boleh dilakukan,” jelasnya yang merupakan anak kedua daripada lima beradik.

NURALIA AFINA merupakan pelajar tahun akhir di UCL, United Kingdom.

Pada masa sama, Nuralia Afina mengakui, mendalami bidang biologi ada cabarannya tersendiri.

Ujarnya, banyak perkara yang dia perlu faham dan bukan hanya sekadar menghafal.

“Jika belajar berkaitan perut, kita juga perlu tahu tentang otak kerana ia berhubung antara satu sama lain.

“Jika ada sesuatu hormon yang tidak kena di otak, ia boleh beri kesan juga kepada perut atau hati.

“Jadi, banyak benda yang kita kena tahu dan belajar.

“Bagi atasi cabaran itu, kita perlu ada ‘mindset’ yang mengatakan benda ini tidak susah dan perlu mempunyai keinginan untuk mengetahui dengan lebih banyak,” ulasnya.

Menariknya, dia memilih untuk mengambil pengkhususan berkaitan sel biologi manusia.

Dia juga mendalami tentang bagaimana faktor genetik boleh memberi kesan kepada sel manusia.

Sementara itu, Nuralia Afina menjelaskan, dia kini berada di semester akhir pengajian dan akan menduduki peperiksaan pada Mei.

Dia dijangka bergraduasi pada bulan September nanti.

Jika dihitung, Nuralia Afina telah berada di luar negara selama lebih dua tahun.

Dia beberapa kali telah melalui pengalaman menyambut Ramadan dan Syawal di negara asing tanpa keluarga di sisi.

Ketika diminta mengulas tentang apa yang dirinduinya ketika berpuasa, dia memaklumkan, sangat merindui suasana bazar Ramadan di negara ini.

“Di sini tiada bazar Ramadan seperti di tanah air yang menjual pelbagai jenis makanan.

“Cuma ada beberapa gerai kecil yang dibuka pada setiap hari Sabtu di Malaysia Hall.

“Begitu juga dengan suasana raya di sini, tidak sama seperti di tanah air.

“Kita hanya dapat merasai suasana raya untuk tempoh beberapa jam bersama rakan-rakan yang tidak pulang beraya ke tanah air,” katanya.

Sementara itu, Nuralia Afina memaklumkan, sepanjang pengajian di seberang laut, dia merupakan seorang yang gemar dengan aktiviti sukarelawan.

Katanya, melalui aktiviti itu, dia dapat berjumpa dengan lebih ramai orang daripada pelbagai latar belakang, selain bertukar cerita serta pengetahuan antara satu sama lain.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Nuralia Afina berkata, dia ingin pulang ke tanah air dan bekerja dalam sektor berkaitan pengajiannya terlebih dahulu bagi meraih pengalaman.

Setelah meraih cukup pengalaman, dia berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI