PETALING JAYA – Pemandu lori maut setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Bukit Jalil menghala ke Kuala Lumpur berhampiran Majlis Sukan Negara petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 5.06 petang, sebelum tujuh orang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil dikerahkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, didapati sebuah lori Hicom Perkasa telah terbabas serta melanggar pokok dan mengakibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona milik Jabatan Imigresen mengelak daripada melanggar.
“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan pemandu lori warga tempatan itu yang berusia 58 tahun maut setelah dia tercampak daripada lori dan dihempap pokok.
“Pemandu dan penumpang kereta Proton Persona terbabit pula tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Jelasnya lagi, anggota bomba telah mengalihkan mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.19 petang. – K! ONLINE