fbpx

PMWCBM berjaya bantu wanita bangkit daripada kisah sedih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para pemenang PMWCBM menunjukkan hadiah masing-masing dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

BERBICARA tentang wanita, mereka sebenarnya mempu­nyai peranan yang begitu penting dalam masyarakat dan juga negara, sewajarnya usaha-usaha kaum hawa ini harus dihargai.

Oleh itu, bersempena Hari Wa­nita Sedunia (IWD) 2024 yang bertemakan ‘Wanita Dijulang, Negara Gemilang, Maggi turut meraikan hari tersebut dengan menge­­­te­ngahkan keupayaan dan pencapaian wanita, memperkukuhkan peranan mereka dalam industri makanan dan mengiktiraf sumbangan mereka yang berharga dalam masyarakat.

Sehubungan itu, melalui Program Mentor Wanita Cukup Berani Maggi (PMWCBM), Maggi menzahirkan hasrat memperkasa wanita di Malaysia untuk lebih berani mencuba sesuatu yang baharu dan memecahkan tembok ketakutan mereka.

Mereka juga percaya, program yang dilaksanakan mampu menjadi platform berkesan untuk wanita mendapatkan ilmu pengetahuan dan sokongan moral dalam me­nempuh cabaran kehidupan, sete­rusnya terbang tinggi menggapai impian.

Program yang telah masuk musim ketiga itu baru sahaja me­labuhkan tirai pada Februari lalu.
Dalam pada itu, Datin Paduka Eina Azman selaku mentor serta Nur Hanie Mohammed, Ida Faizura Megat Muhaiyadin dan Ili Nur Ain Mohd Yusof yang merupakan pemenang program tersebut turut berkongsi perspektif masing-ma­sing dan berharap ia mampu ­menyuntik inspirasi untuk para wanita di luar sana terus mengorak langkah mencipta kejayaan.

Eina Azman (tengah), Sheila Rusly (kiri) dan Anne Idris dilantik sebagai mentor untuk program PMWCBM.

Juara untuk program tersebut, Nur Hanie, 42, yang berasal dari Sarawak berkata, menjadi sebahagian daripada program itu telah memberikan impak yang positif dan penting terhadap perkembangan dirinya, khususnya dalam mengatasi cabaran peribadi dan profesional.

Menurutnya, minat memasak timbul dalam dirinya apabila dia melihat ibunya sendiri dan ketika mempelajari subjek Ekonomi Rumah Tangga ketika di sekolah menengah.

“Namun, titik tolak untuk bermula secara serius dalam bidang makanan adalah setelah kehila­ngan ibu tercinta dan ketika itu saya menjalani tempoh berpantang tanpa kehadirannya.

“Dari situ, tercetuslah perniagaan makanan berpantang saya dan menyediakan masakan sihat untuk ibu-ibu baru bersalin dengan mengguna pakai dan menyesuaikan resipi turun-temurun yang ­diajar oleh arwah ibu.

“Ini cara saya bangkit daripada kesedihan yang berpanjangan dan membuatkan saya rasa dekat ­de­ngan ibu saya,” katanya.

Dia sangat berterima kasih dengan bimbingan mentor hebat seperti Anne Idris, Eina Azman dan Sheila Rusly kerana banyak me­ngubahnya menjadi le­bih baik dan membantu dirinya untuk terus maju dalam perniagaan makanan yang diusahakan.

Sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2020, PMWCBM menyediakan bengkel bimbingan, latihan dan sokongan kepada ­wa­nita yang ingin mengubah kehidupan mereka.

Program itu juga membantu peserta untuk memperoleh kemahiran baharu dalam bidang masakan, seterusnya mengambil langkah ke arah keusahawanan dalam bidang makanan dan meningkatkan taraf hidup mereka, keluarga serta komuniti tempatan melalui penjanaan pendapatan yang mampan.

Sementara itu, Ida Faizura, 50, yang lebih mesra dikenali sebagai Jua merupakan seorang peguam lulusan United Kingdom yang kemudiannya meninggalkan dunia korporat untuk memulakan perniagaan butik pakaian.

Namun, dia terpaksa menutup butik kesayangan selepas menge­tahui anak bongsu beliau menghidap autisme, lalu memberi perhatian penuh kepada anak di rumah.

“Saya percaya, selepas hujan, pastinya ada pelangi dan bermulalah episod saya berniaga makanan dari rumah untuk dibekalkan kepada gerai dan restoran.

“Walaupun mempunyai permintaan, saya tahu saya perlu memperbaiki diri untuk pergi lebih jauh meskipun saya seorang yang introvert dan lebih suka menghabiskan masa sendiri serta kekok untuk berinteraksi dengan orang ramai.

“Namun, PMWCBM memberi saya kekuatan untuk keluar daripada zon selesa dengan mempelajari strategi dan teknik yang betul dalam mengukuhkan lagi perniagaan,” jelasnya yang merupakan naib juara untuk program itu.

Tambahnya, walaupun hanya berniaga dari rumah sambil menjaga anak, ini bukan penghalang untuk saya mempunyai pendapatan sendiri dan membantu orang lain di sekelilingnya.

Melalui program itu juga, lebih daripada 4,800 wanita di seluruh negara telah diperkasa dengan tumpuan utama pada peningkatan kemahiran masakan, keyakinan diri, dan penguasaan teknologi.

Program ini tidak hanya memberi mereka kemahiran praktikal dalam memasak, tetapi juga me­ningkatkan kepercayaan diri mereka serta memperkenalkan mereka kepada teknologi yang relevan dalam industri makanan.

Bagi Ili Nur Ain, 35, yang merangkul tempat ketiga untuk program itu juga mempunyai perniagaan sambal turut berhadapan dugaan rumah tangga yang sukar sehingga membawa kepada perceraian.

Menurutnya, perkara itu memberi kesan yang cukup mendalam kepada diri beliau sehingga menjejaskan perniagaan sambal yang diusahakannya.

“Saya menghadapi kesukaran untuk konsisten dalam menghasilkan konten video untuk platform perniagaan saya di YouTube.

“Namun, PMWCBM telah memberikan sokongan dan memotivasikan saya untuk bangkit dan mentor serta rakan seangkatan banyak memberi kata-kata semangat untuk terus berdisiplin membina semula perniagaan selain menghasilkan kandungan yang berkualiti,” ujarnya.

Tambahnya, apa yang lebih manis, dia ditawarkan oleh Maggi untuk menjadi tenaga pengajar masakan bagi program ini.

Dalam pada itu, Eina Azman yang merupakan salah seorang mentor dalam program itu menjelaskan, adalah satu kepuasan dan kegembiran dapat membantu orang lain menjadi lebih baik dan mencapai impian mereka.

“Semasa mula-mula belajar memasak, saya sering dikritik oleh netizen, ada sahaja yang tak kena.

“Malah, keluarga juga berasa risau setiap kali saya ke dapur, takut saya cedera terkena pisau atau terkena pinggan mangkuk yang pecah.

“Namun, saya tetap kuatkan semangat kerana sebagai seorang ibu dan isteri, saya mahu keluarga menikmati air tangan saya sendiri tanpa perlu mengharapkan orang gaji atau membeli di luar di sam­ping lebih terjamin kebersihan dan menyihatkan, selain menjimatkan poket,” katanya.

Tambah beliau, kerjayanya sebagai seorang usahawan dalam bidang makanan bermula dari rumah sahaja tetapi mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan.

Melihat permintaan yang semakin meningkat, itulah titik tolaknya untuk melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan jenama saya sendiri iaitu It’s Done by Eina Azman yang kini mempunyai lebih 60,000 pengikut dan menjadi ­destinasi pilihan bagi pecinta masakan tempatan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI