KAJANG – Aktor Tony Eusoff bersyukur kerana sepanjang kerjaya lakonannya, dia tidak pernah berdepan dengan situasi pelakon muda yang bermasalah.
Menurut Tony atau nama sebenarnya, Anthony Joseph anak Hermas Rajiman, 47, kesemua pelakon baharu yang pernah bekerjasama dengannya adalah yang terbaik antaranya, Hun Haqeem, Daiyan Trisha dan Mierul Aiman.
“Saya pernah dengar cerita daripada rakan-rakan yang pernah ‘terkena’ dengan pelakon baharu tetapi saya bernasib baik masih terselamat (ketawa).
“Bagi saya pelakon muda seperti Hun Haqeem, Daiyan Trisha dan Mierul Aiman antara generasi pelapis yang berjiwa besar kerana mengambil berat terhadap kerja mereka,” ulas Tony.
Tony yang sinonim dengan watak P.Ramlee itu mendedahkan, kebanyakan rungutan yang diterima daripada rakan artis adalah masalah dibawa oleh pempengaruh (influencer) yang menjadi bidan terjun dalam dunia lakonan.
“Banyak yang dengar apabila pelakon itu pempengaruh media sosial. Kebanyakan mereka tidak ada latar berlakang lakonan, tetapi tiba-tiba popular dan ditawar jadi pelakon. Kira bidan terjunlah.
“Jadi, mereka memang tidak tahu selok-belok dunia lakonan. Walhal banyak perkara teknikal yang harus dipelajari sebelum berlakon,” kata Tony yang ditemui pada majlis tahlil sempena ulang tahun Allahyarham Tan Sri P.Ramlee di sini semalam.
Bintang teater P.Ramlee The Musical itu bakal muncul dengan filem Mencari Ramlee lakonannya bersama aktres Sofia Jane dan Mimi Lana yang dijangka akan menemui penonton di pawagam pada tahun ini.
Sementara itu, saat disoal adakah kini dia bersikap selektif, kata Tony dia tidak mampu untuk berbuat demikian demi kelangsungan hidup.
“Kadang-kala saya pilih tetapi ada masanya apabila saya tidak cukup duit saya akan terima sahaja apa tawaran yang datang.
“Terus-terang saya terpaksa hadapi realiti terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana virus Covid-19.
“Saya pernah lalui zaman kegelapan (ketiadaan tawaran kerja) jadi kadang-kala tidak boleh memilih sangat. Walaupun begitu, saya tetap memberikan yang terbaik dalam setiap projek lakonan,” luah Tony. – KOSMO! ONLINE