KLUANG – Perjalanan 70 penumpang kereta api dari Johor Bahru Sentral ke Gemas tertangguh kira-kira dua jam selepas kenderaan dinaiki melanggar anak gajah di Kilometer 679.50 antara Renggam-Mengkibol di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian pada pukul 8.19 malam itu bagaimanapun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan.
“Akibat pelanggaran itu, lokomotif tersebut tidak dapat bergerak kerana mengalami kerosakan.
“Seekor anak gajah ditemukan terbaring tidak bernyawa berdekatan landasan. Dua ekor gajah lain pula berjaya menyeberangi jalan utama menuju ke kebun berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin, kawasan persekitaran gelap dan pemeriksaan yang dilakukan mendapati pagar berhampiran rosak akibat dirempuh dua ekor gajah tersebut.
Pihak Perhilitan Kluang yang tiba di lokasi mengambil saiz anak gajah dan memotong gading bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti dicuri.
“Pada pukul 10.40 malam lokomotif bantuan tiba di lokasi dan kerja penyambungan ke gerabak berjaya dilakukan.
“Kerja-kerja penanaman bangkai anak gajah akan diuruskan dengan bantuan jentera JCB milik syarikat YTL Berhad,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE