Biarpun telah meraih pendapatan selesa sebagai content creator, namun perkara itu tidak membuatkan gadis Pesona Ahad, Nurul Hannan Uma hidup selesa sebaliknya tekad menamatkan pengajian dalam Ijazah Kejuruteraan Kimia.
Penuntut tahun akhir Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang lebih mesra dipanggil Hannan menegaskan setiap anak muda perlu mengutamakan pelajaran dan tidak terlalu dibuai dengan wang ringgit dan populariti.
Kepada Kosmo! Ahad, Hannan turut berkongsi kenangan dirinya minum air sejuk secara curi-curi ketika kecil sebelum berlagak orang berpuasa.
Kosmo! Ahad: Ceritakan tentang diri Hannan?
Hannan: Saya anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang dan berketurunan Melayu-Siam. Anak kedua daripada enam beradik dan seorang perahsia. Penuntut tahun akhir Universiti Kuala Lumpur (UniKL), jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.
Bagaimana bermulanya dunia content creator?
Mulanya saya menjadi ejen produk kecantikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan 2020 untuk cari duit tepi. Kemudian, saya muat naik video tutorial pakaian muslimah sehingga tular dan menarik perhatian jenama pakaian dan kecantikan. Bermula dari situ, bakat makin dikenali dan pendapatan bertambah.
Kelainan dari segi kandungan diketengahkan Hannan?
Lebih utamakan fesyen muslimah dan mengajak orang ramai menutup aurat dengan sempurna. Saya memilih cara penyampaian lebih santai dan mengikut peredaran masa. Sebagai contoh, untuk tutorial tudung, saya tampilkan gaya tudung terkini dan selesa.
Nasihat buat yang mahu jadi content creator?
Jadilah content creator yang berilmu agar memberi manfaat kepada orang lain. Jangan tinggalkan pelajaran hanya kerana ingin menjadi seorang pempengaruh. Dunia media sosial sememangnya menjanjikan pulangan wang ringgit dan populariti tetapi kita perlu bijak menilai.
Perancangan masa depan?
Memandangkan saya sudah berada di tahun akhir pengajian, jadi saya akan habiskan dulu pengajian ini. Perancangan untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana sudah ada. Jika ada rezeki dan kesempatan, insya-Allah saya akan sambung.
Ciri-ciri lelaki idaman?
Soalan ni susah, sebab bagi saya apabila saya suka seseorang, semua ciri baik si dia, akan menjadi idaman saya. Apa yang penting, carilah lelaki yang baik dan bertanggungjawab dalam segala hal termasuk hal agama, keluarga dan masa depan.
Persediaan Ramadan kali ini?
Apa yang saya lakukan lebih kepada ‘merawat’ hati, banyakkan beribadah dan hindari perkara-perkara makruh yang boleh mengurangkan pahala puasa.
Pengalaman puasa tidak boleh dilupakan?
Seingat saya, waktu kecil- kecil dulu, saya pernah curi-curi minum air dalam peti ais kemudian sambung puasa macam orang lain.
Bagaimana bahagikan masa antara dunia glamor dengan pelajaran?
Apapun yang saya lakukan, pelajaran paling utama, jadi saya usaha 100 peratus. Pada waktu lapang, saya ambil sedikit masa merakam dan menyunting video. Sejujurnya saya banyak korbankan waktu tidur dan waktu rehat sendiri.