WASHINGTON – Seorang pemancing di Amerika Syarikat menaikkan seekor ikan paddlefish yang diiktiraf paling besar di dunia untuk spesies berkenaan, lapor saluran berita Fox News kelmarin.
Pemancing berkenaan, Chad Williams pertama kali melihat spesies ikan air tawar itu di Tasik Ozarks, negeri Missouri.
Dia berjaya menangkap paddlefish seberat 74.44 kilogram itu pada Ahad lalu.
Tangkapan Williams bukan sahaja memecahkan rekod negeri seberat 63.40 kilogram tetapi turut mengatasi rekod dunia spesies paddlefish iaitu 74.38 kilogram.
Pemancing itu berkata, dia bernasib baik kerana dijemput oleh rakan-rakannya untuk memancing hidupan air tawar itu.
Dia dan rakan-rakan turut menemui pegawai hidupan liar Missouri untuk menimbang ikan tersebut. Ikan itu kemudian diiktiraf oleh Jabatan Pemuliharaan Missouri sebagai rekod dunia untuk tangkapan paddlefish.
Williams dan isteri memutuskan untuk menyimpan sebahagian daging ikan itu dan memberikan sebahagian lagi kepada kumpulan rakan pemancing selain berhasrat untuk mengawet serta menyimpan kepala ikan tersebut. – AGENSI