PETALING JAYA – Selepas membuat ugutan mahu meninggalkan agama, pelakon Fatiya Latiff kembali mencetuskan kerisauan dalam kalangan orang apabila berkongsi hantaran berbaur tanda tanya seolah-olah tidak lagi akan menikmati keindahan Ramadan pada masa hadapan.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik, Fatiya dalam Instagramnya, pelakon berusia 37 tahun itu menulis kapsyen membayangkan kemungkinan tahun ini merupakan Ramadan terakhir buat dirinya.
“Saya rasa ini merupakan tahun terakhir saya menyambut Ramadan,” tulisnya.
Fatiya atau nama lengkapnya Nur Fathia Abdul Latiff, bagaimanapun tidak menjelaskan maksud sebenar hantaran tersebut, malah turut menutup ruangan komen dalam Instagram.
Pelakon drama Ariana Rose itu sebaliknya hanya memuat naik foto sedang membawa al-Quran bersama seorang wanita, dipercayai ibunya di dalam sebuah masjid di Tanah Suci.
Menerusi hantaran berbeza, Fatiya turut berkongsi sebuah video memperlihatkan seorang wanita dalam keadaan menutup keseluruhan tubuhnya yang dikatakan sebagai anggota polis di Mekah, yang menjadi pekerjaan impiannya suatu hari nanti.
“Pekerjaan impian saya. Anggota polis di Mekah,” katanya.
Dalam pada itu, Fatiya turut mengingatkan bahawa, kedatangan Ramadan bukanlah waktu untuk seseorang itu menjadi riak.
Sebaliknya, umar Islam haruslah memberikan perhatian dan fokus kepada amal ibadah yang dilakukan sepanjang bulan suci ini.
“Pada pendapat saya, Ramadan bukanlah waktu untuk kita berlagak sombong atau menunjuk-nunjuk.
“Ramadan adalah bulan yang mulia untuk menumpukan perhatian dan mengabdikan diri kepada Yang Maha Kuasa,” jelasnya.
Baru-baru ini, Fatiya menuai perhatian pengikutnya apabila mengugut akan keluar daripada agama Islam disebabkan sudah tidak tahan dengan sikap netizen yang tidak berhenti mengutuk dan mengkritik setiap gerak-gerinya.
Katanya, sikap negatif netizen memburukkan situasi selain turut menganggap masyarakat sudah melampaui batas menjatuhkan hukuman terhadap dirinya.
Nama Fatiya menjadi perhatian ramai apabila kerap berkongsi luahan dan pendapat dalam media sosial, sehingga mengundang pelbagai kontroversi.
Keadaan semakin panas apabila Fatiya turut menyamakan wajah pelakon, Zahirah MacWilson dengan pembantu rumah (bibik), serta mengungkit kisah percintaannya dengan suami pelakon itu, yang sebelum ini merupakan bekas kekasihnya iaitu, Aiman Hakim Ridza. – KOSMO! ONLINE.