TAMPIN – Persiapan solat Subuh banduan Penjara Gemas dekat sini dikejutkan dengan seorang daripada Orang Di Selia (ODS) atau banduan ditemui tidak sedarkan diri pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, kakitangan penjara menerima aduan pukul 5.20 pagi daripada seorang banduan yang menyatakan mangsa berusia 38 tahun masih tidak bangun untuk bersiap seperti biasa menunaikan solat Subuh.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin Gemas bagi tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan, mangsa disahkan telah meninggal dunia.
“Mangsa didapati tidak mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan. Pemeriksaan di kawasan katil dan blok dihuni mangsa tiada kesan mencurigakan serta pemeriksaan tubuh badan tiada menjumpai apa-apa mencurigakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Anuwal berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut setakat ini.
Berdasarkan rekod, mangsa dipenjarakan sejak 27 Julai lalu sehingga 24 Oktober 2022 atas kesalahan Seksyen 12(3) dan 32(C) Akta Dadah Berbahaya 1952.-K! ONLINE