KUALA LUMPUR – Penyamun yang melarikan peti besi milik seorang influencer wanita di Sentul baru-baru ini tidak menyangka terdapat jongkong emas bernilai RM1 juta di dalamnya sebelum dibuang dalam Sungai Sembrong, Batu Pahat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, perkara itu diakui sendiri oleh empat suspek tersebut yang berjaya diberkas polis baru-baru ini.
Selepas melarikan peti besi tersebut, kesemua suspek kemudian mengeluarkan barangan berharga termasuk barang kemas di dalamnya sebelum membuangnya ke dalam sungai bagi melupuskan bukti.
“Ketika ditahan, mereka (suspek) membawa anggota polis ke sungai tersebut dan ia dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Pemeriksaan mendapati ada ruangan kecil tersembunyi di bahagian bawah peti besi tersebut. Penjenayah tersebut memecahkan peti besi dan mengambil barangan lain, tetapi mereka tidak perasan ruangan (tersembunyi) itu.
“Apabila dibuka ruangan tersebut, kami menemukan empat jongkong emas bernilai RM1 juta,” katanya.
Selain jongkong emas, polis merampas barang kemas dan aksesori mewah bernilai RM2.1 juta.
Barang kemas itu berupa 15 utas rantai emas, gelang emas (14), cincin emas (2), beg berjenama (7), loket emas (1), dan subang emas (1) yang dijumpai di sebuah rumah di Batu Pahat.
4 Mac lalu, polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berhubung kejadian pecah rumah di Padang Balang, Sentul, Kuala Lumpur.
Hasil pemeriksaan mendapati sebuah peti besi yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai anggaran lebih kurang RM3 Juta telah dilarikan bersama beberapa buah beg tangan pelbagai jenama serta barangan kemas milik ahli keluarga.
Jumlah anggaran kerugian adalah lebih kurang RM3.5 Juta.- KOSMO! ONLINE.