fbpx

13 Januari keputusan kes saman Rayyan, Saidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 Januari 2021 bagi keputusan permohonan ahli perniagaan Rayyan Radzwill Abdullah supaya kes samannya terhadap bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. Saidi Abang Samsudin diputuskan melalui penghakiman terus.

Pada tarikh sama, Hakim Datuk Ahmad Bache turut menetapkan untuk keputusan permohonan Saidi bagi membatalkan saman dikemukakan Rayyan selepas mendengar hujahan ringkas peguam yang mewakili kedua-dua individu itu.

Rayyan dan Saidi merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid itu.

Saman yang difailkan Rayyan, 41, pada 29 Februari lalu adalah berhubung dakwaan rakan perniagaannya itu gagal membayar baki bayaran RM9 juta atas perkhidmatan yang dilakukan untuk mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Terdahulu, peguam Krishna Kumar yang mewakili Saidi berhujah bahawa Rayyan selaku plaintif tidak memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan pembatalan saman dikemukakan oleh anak guamnya.

Katanya, tuntutan saman itu sepatutnya difailkan terhadap syarikat iaitu Jepak Holdings dan bukannya defendan.

Sementara itu peguam Ravee G. Uthirapathy yang mewakili Rayyan pula berhujah, dakwaan defendan bahawa plaintif tidak memfailkan afidavit jawapan adalah tidak berasas dan cacat.

Ujar beliau, wujud perjanjian lisan di antara Rayyan dan Saidi berhubung perolehan projek solar itu dan sumbangan kerja-kerja konsultansi yang diberikan kepada Rayyan selepas perolehan projek berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutan, Rayyan mendakwa pada awal tahun 2016, Saidi, 61, telah melantiknya sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid dan sebagai balasan defendan berjanji untuk membayar yuran sebanyak RM10 juta apabila projek berjaya diperoleh oleh defendan.

Saidi dalam pernyataan pembelaan difailkan 6 April lalu menafikan bahawa beliau pernah melantik plaintif sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid itu selain mendakwa perjanjian untuk projek dimasuki antara Jepak Holdings dengan KPM dan bukan atas kapasiti persendirian defendan.

Saidi juga memfailkan tuntutan balas terhadap Rayyan menuntutnya memulangkan semula wang RM1 juta yang dibayar kepadanya dengan serta-merta.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI