JOHOR BAHRU – Geng Ho Kia berleluasa melakukan kegiatan mencuri kenderaan dan pecah rumah di sekitar kawasan bandar raya ini tumpas selepas tiga ahlinya diberkas polis dalam Op Lejang awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah telah membuat tiga serbuan berasingan di sekitar kawasan Johor Bahru dan Ulu Tiram antara pukul 1 hingga 7 pagi.
Beliau berkata, hasil serbuan itu, sepasukan polis telah berjaya menangkap tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun yang merupakan ahli Geng Ho Kia terbabit.
“Hasil serbuan ini, polis turut merampas dua buah kereta dan pelbagai peralatan yang tajam seperti kuku kambing, pemotong besi dan parang yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah rumah di sekitar kawasan Johor Bahru.
“Semakan rekod jenayah mendapati saspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan kes dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Padzli berkata, kesemua suspek direman mulai hari ini hingga 12 Disember bagi membantu siasatan.
“Pihak polis IPD JBS mohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi terus di talian hotline 07-218 2323,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan laitu melakukan kesalahan mencuri kenderaan. – K! ONLINE