fbpx

Hias rumah macam taska untuk simpan dadah RM10.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allaudeen menunjukkan pil erimin 5 yang berjaya dirampas dalam serbuan di Ampang, Selasa lalu.

KUALA LUMPUR – Pelbagai jenis dadah bernilai RM10.8 juta dirampas selepas pihak polis menahan seorang lelaki tempatan di sekitar Cheras, di sini, pada Selasa lalu.

Susulan tangkapan suspek itu, polis berjaya merungkai taktik sindiket menjadikan sebuah rumah teres dipenuhi lukisan mural yang kelihatan seperti Taska di Taman Dagang Ampang, Selangor, sebagai stor penyimpanan dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ia adalah hasil usaha pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) melaksanakan dua serbuan di sekitar ibu negara dan Selangor.

Katanya, lelaki yang ditahan itu berperanan sebagai pembawa atau ‘carrier’ untuk rampasan dadah yang mampu menampung seramai 826,00 penagih dadah.

“Kita berjaya menangkap suspek tempatan berusia 38 tahun di sekitar Cheras, di sini, yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah untuk pasaran tempatan sekitar Lembah Klang.

“Ekoran tangkapan suspek itu, kita membuat serbuan di sebuah rumah yang nampak seperti Taska. Pelbagai jenis dadah bernilai RM10.8 juta berjaya dirampas yang terdiri daripada syabu (213 kg), pil erimin 5 (90 kg) dan heroin base (3 kg).

“Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak hujung tahun 2023,” katanya ketika sidang akhbar di IPK KL, di sini, hari ini.

Menurut beliau, modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menjadikan premis yang menyerupai pusat penjagaan kanak-kanak sebagai stor menyimpan bekalan dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kita percaya bekalan dadah ini diperolehi dari atas (Utara Semananjung dan laluan seangkatan negara jiran).

“Rumah yang disewa dengan harga RM3,000 sebulan ini mempunyai lukisan mural yang dilihat seperti Taska.

“Kita percaya rumah ini baru disewa selama lima bulan berdasarkan hasil risikan beberapa bulan lalu.

“Ujian saringan awal polis mendapati suspek negatif dadah dan suspek juga bersih daripada sebarang rekod jenayah dan narkotik,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tujuh hari bermula 20 Mac hingga 26 Mac ini bagi membantu siasatan.

“Operasi ini telah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah bagi pasaran tempatan terutama di kawasan Lembah Klang.

“Setakat ini, kita telah membuka dua kertas siasatan di IPK KL serta Ibu Pejabat Ampang Jaya bagi mengesan ahli sindiket yang turut terlibat.

“Kita juga akan panggil (rakam keterangan) tuan rumah dan mana-mana individu yang dapat membantu siasatan ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI