PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyekat laman sesawang dan menurunkan lima kandungan media sosial berkaitan ajaran sesat The Ahmadi Religion of Peace and Light (AROPL).
Menurut MCMC, pihaknya akan terus menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Negeri-negeri serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang ajaran sesat tersebut daripada terus berleluasa.
“MCMC telah mengambil tindakan penurunan terhadap lima kandungan media sosial berkaitan ajaran sesat The Ahmadi berdasarkan permohonan kepada penyedia platform media sosial manakala tindakan sekatan telah diambil terhadap satu laman sesawang dengan kerjasama penyedia perkhidmatan Internet.
“Dalam hal ini, MCMC turut berperanan menyalurkan bantuan teknikal untuk siasatan dan pendakwaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa agama,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo!
Dalam pada itu, MCMC turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan kandungan berhubung ajaran sesat tersebut kerana ia boleh memberi impak negatif yang lebih besar khususnya mencetuskan dan mengundang perbualan di alam maya yang menyentuh sensitiviti agama.
“Orang ramai diingatkan untuk tidak terpengaruh dengan fahaman ini dan tidak berkongsi maklumat yang boleh menyebabkan ketidaharmonian dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Mereka juga dinasihatkan untuk melaporkan terus kepada pihak berkuasa agama dan penyedia platform media sosial untuk tindakan susulan,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan gerakan The Ahmadi yang didalangi seorang pendeta di Malaysia kini bergerak menyebar luas ajaran tersebut di media sosial terutamanya di platform seperti YouTube, Instagram, Facebook, Telegram dan TikTok.
Malah, pengikut ajaran tersebut juga kerap membuat siaran langsung bagi menyebarkan dakyah mereka untuk merekrut pengikut baharu. – KOSMO! ONLINE