fbpx

Pendakwaan bantah permohonan Na’imah rujuk persoalan ke Mahkamah Tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Na'imah ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto Shidiqqin Zon/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantah permohonan isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung kesahihan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya kerana gagal mengisytiharkan harta.

Bahagian pendakwaan agensi itu memohon Mahkamah Sesyen menolak permohonan tersebut atas alasan tiada keperluan untuk merujuk persoalan perlembagaan yang dibangkitkan oleh isteri Tun Daim Zainuddin, ke Mahkamah Tinggi.

Menerusi afidavit balasan yang diikrarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Maziah Mohaide, agensi itu menyatakan, permohonan tersebut tiada merit kerana isu yang dibangkitkan bukan isu perlembagaan atau melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Afidavit itu yang diikrarkan pada 10 Mac lalu menyebut, hak seseorang untuk dilindungi daripada melibatkan diri dengan kesalahan, bukan merupakan hak mutlak di bawah undang-undang atau hak yang dijamin di bawah Perlembagaan.

Beliau menyatakan, Seksyen 36 Akta SPRM 2009 tidak melanggar Perkara 5 Perlembagaan kerana peruntukan itu memberi kuasa kepada pegawai SPRM memperoleh maklumat bagi tujuan siasatan.

Ujar Maziah, peruntukan itu tidak melanggar Perkara 5 kerana apabila Na’imah (pemohon) diberikan notis oleh pegawai SPRM, beliau belum ditangkap atau ditahan.

Menurutnya, peruntukan tersebut juga tidak melanggar Perkara 8 Perlembagaan kerana Seksyen 36 tidak hanya terpakai kepada Na’imah sebaliknya kepada individu lain yang turut menerima notis sama daripada SPRM.

“Pemohon dilayan sama rata di sisi undang-undang dan tiada diskriminasi terhadapnya apabila diperintah mematuhi notis di bawah Seksyen 36. Tindakan pegawai SPRM adalah sama seperti mana-mana individu yang disiasat,” ujar Maziah.

Pendakwaan membantah permohonan isteri bekas Menteri Kewangan itu yang difailkan pada 29 Februari lalu, untuk merujuk beberapa persoalan undang-undang berhubung kesahihan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya kerana gagal mengisytiharkan aset.

Sehubungan itu, Hakim Azura Alwi menetapkan permohonan tersebut didengar pada 21 Mei ini manakala penghujahan bertulis difailkan sebelum atau pada 3 Mei.

Persoalan yang dirujuk adalah sama ada Seksyen 30(5) dan 36(2) Akta SPRM 2009 yang dipertuduhkan terhadapnya melanggar hak seseorang untuk dilindungi daripada membabitkan diri dengan suatu kesalahan dan hak untuk tidak dipaksa memberikan keterangan dalam suatu kesalahan yang akan digunakan dalam suatu prosiding terhadapnya serta hak dirinya untuk suatu perbicaraan adil.

Pemohon juga memohon mahkamah menentukan sama ada kedua-dua seksyen tersebut melanggar Perkara 5 (kebebasan diri) dan 8 (perlindungan sama rata di sisi undang-undang) Perlembagaan Persekutuan, dan seterusnya menjadikannya tidak berperlembagaan dan terbatal.

Na’imah turut memohon perintah supaya prosiding di Mahkamah Sesyen berhubung pertuduhan terhadapnya ditangguhkan sehingga permohonan rujukan itu didengar dan diputuskan dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI