fbpx

McDonald’s Malaysia tarik balik saman fitnah BDS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – McDonald’s Malaysia mengumumkan bakal menarik balik saman fitnah yang telah difailkannya kepada BDS Malaysia, susulan hasil positif mediasi dan penjelasan yang dibuat oleh BDS dalam kenyataan terkini mereka bahawa tindakan pengendali McDonald’s di Israel sama sekali tiada kena mengena dengan McDonald’s Malaysia.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, langkah yang diambil sebelum ini adalah bagi memastikan semua pihak memahami dengan jelas tentang kedudukan McDonald’s Malaysia dalam konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini.

“Kami tetap teguh dengan pendirian kami untuk tidak menyokong dan tidak terlibat dalam sebarang konflik atau peperangan.

“Setelah beroperasi selama lebih empat dekad di Malaysia dan sebagai perniagaan 100 peratus milik Muslim, kami berbangga menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat di negara ini.

“McDonald’s Malaysia juga tetap komited untuk bersikap telus, menjalankan perniagaan yang beretika dan melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BDS Malaysia merupakan gabungan badan bukan kerajaan yang mempromosikan kempen memboikot perkara atau produk yang dikaitkan dengan Israel.

Azmir menambah, McDonald’s Malaysia terus menyokong rakyat Palestin yang terkesan melalui sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin dan pelbagai inisiatif pengumpulan dana oleh warga kerjanya untuk terus menyokong misi bantuan di Gaza.

“Kami berharap keputusan yang dibuat hari ini membolehkan semua pihak berganding bahu dan menumpukan usaha mencari penyelesaian demi menegakkan keadilan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI