PETALING JAYA – Segelintir jemaah wanita dilihat masih mengabaikan adab untuk merapatkan saf ketika menunaikan solat tarawih pada bulan Ramadan ini.
Ia merupakan perkara asas, namun ada segelintir jemaah yang keras kepala dan buat sesuka hati mereka asalkan dapat menunaikan solat.
Menerusi perkongsian pemilik Tweet Islamik di laman X, jemaah mendirikan solat dengan tidak tersusun berikutan terdapat bahagian yang kosong di ruang kanan, kiri, hadapan dan elakang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis dalam teks khutbah Jumaat pada 11 Ogos 2023, menyempurnakan saf solat secara berjemaah adalah suatu tuntutan.
“Para jemaah yang berada di belakang imam hendaklah membuat suatu saf atau barisan yang teratur dan memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang dinyatakan oleh Baginda SAW.
“Dari sabda Rasulullah SAW, ayatnya bermaksud luruskan saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat,” hujahnya.
Tegas beliau, ayat itu merupakan perintah supaya meluruskan saf solat sebelum dan sepanjang solat berjemaah kerana kesempurnaan saf merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat secara berjemaah.
Menerusi ruangan komen, ada pengguna media sosial yang turut bertanyakan tentang punca keadaan itu berlaku.
‘Betul sangat, masjid dekat tempat saya pun sama. Masing-masing awal sudah letak sejadah lepastu tak nak rapatkan saf, bila kita tegur dijelingnya kita,” kata Umaira
“Kadang yang tak rapatkan saf ini sebab mungkin dah rakaat ke lapan, lepas berdoa ramai yang terus balik, jadi lah ada lopong-lopong, yang belakang tak bergerak ke depan,” kata Norafiqa
Pada tahun lepas, ada juga masalah dari jemaah yang sengaja biar saf terputus dan selesa solat secara sendiri atau berkelompok disebabkan untuk mendapatkan kipas atau aircond (penyaman udara) yang dikongsikan oleh pengguna media sosial di laman X. – KOSMO! ONLINE