TAIPING – Sebuah premis di Kawasan Perusahaan Ringan Tupai di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ekoran menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan ke atas produk jualannya kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal tidak sah dan digunakan untuk tujuan perdagangan telah ditemui pihaknya setelah pemeriksaan dilakukan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk dikeluarkan premis itu tamat tempoh pada 2008, namun masih digunakan pada paket pembungkusan produk keluarannya.
“Sehubungan itu, pasukan pegawai KPDN Taiping telah mengambil tindakan dengan menyita kesemua 208 unit produk makanan tersebut berserta label produk dan beberapa dokumen berkaitan. Kesemua barang rampasan dianggarkan berjumlah RM2,533,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Peraturan 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Peraturan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
“Jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta.
“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE