JAKARTA – Penduduk di Demak, Jawa Tengah bertindak menubuhkan pasukan peronda bot getah selepas banjir melanda kampung mereka sejak minggu lalu, lapor portal berita TribunJateng,com hari ini.
Tujuan penubuhan pasukan bot itu adalah untuk melakukan rondaan bagi menjaga harta dan barang-barang penduduk yang ditinggalkan di rumah akibat banjir.
Kaum lelaki yang menubuhkan kumpulan peronda bot tersebut di Kampung Ketanjung, Demak.
Seorang penduduk dikenali sebagai Giarto berkata, kumpulan peronda itu ditubuhkan berdasarkan pengalaman yang mereka alami semasa bencana banjir pada Februari lalu.
Menurutnya, ketika itu ada penduduk menemui orang tidak dikenali menaiki bot dan mengelilingi kawasan perkampungan yang ditenggelami air bah.
Lelaki itu disyaki hendak mengambil kesempatan dengan mencuri barang-barang berharga milik penduduk dari rumah mereka. – AGENSI