PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di enam negeri menjelang petang ini.
MetMalaysia menerusi kenyataannya berkata, antara negeri yang terlibat adalah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang melibatkan Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.
“Hujan lebat dan ribut petir juga dijangka berlaku di beberapa tempat di Perak iaitu Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim dan Tanah Tinggi Cameron, Pahang.
“Sementara itu, Negeri Sembilan juga dijangka akan menerima cuaca lembap yang sama iaitu melibatkan daerah Seremban dan Port Dickson,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, taburan hujan dengan intensiti 10 mm hingga 50 mm sejam itu dijangka tidak akan berlarutan sehingga sebelah malam.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE