PETALING JAYA – Singapura berjaya melaksanakan misi bantuan pertamanya yang digugurkan melalui udara (air drop) ke Gaza, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), misi tersebut dijalankan dengan kerjasama Tentera Udara Jordan.
Dalam hantaran sama, RSAF turut memuat naik beberapa foto penyediaan dan pelaksanaan misi berkenaan yang menggunakan pesawat pengangkut C-130.
“Kami berharap misi ini akan membawa sedikit kelegaan kepada situasi kemanusiaan di Gaza,” katanya.
Difahamkan, bantuan kemanusiaan tersebut meliputi peti berisi makanan dan barangan keperluan harian bagi penduduk di Gaza. – KOSMO! ONLINE