fbpx

Ketua jabatan, pegawai kanan kerajaan diarah jaga kampung masing-masing – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap pada Bicara Eksekutif Malaysia Madani di sini, hari ini. -Foto FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA – Perdana Menteri meminta semua menteri, Ahli Parlimen, ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan untuk menjaga kampung masing-masing selain mengambil tahu setiap permasalahan di kawasan berkenaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan memulakan usaha berkenaan di kampungnya sebagai tekad dirinya pada bulan suci ini.

“Semalam dalam mesyuarat penyelarasan pelaksanaan (ICU), ada KSN (Ketua Setiausaha Negara), ada cadangan apa kata kalau semua menteri, semua Ahli Parlimen, ketua jabatan, pegawai kanan, semua syarikat, masing-masing jaga kampung asal mereka.

“Jadi seperti biasa saya umum, nanti KSN cerakin dan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) akan buat siaran (pengumuman),” katanya ketika berucap pada Bicara Eksekutif Malaysia Madani di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut mengarahkan semua pimpinan kerajaan untuk mengikuti latihan dan kursus peringatan bagi menggilap semula semangat serta ilmu masing-masing.

Katanya, latihan dan kursus itu bertujuan menggilap semula kemahiran mereka di masa akan datang selain beliau akan turut menyertai latihan itu.

“Saya tegaskan tidak untung, tidak menang kita dengan sorakan dan maki hamun orang lain melainkan jika hanya dengan kewibawaan kita, keterampilan kita, dan tekad kita.

“Jadi saudara, seperti mana Ramadan ini, saya ingin menganjurkan selain tanggungjawab jaga kampung sendiri itu, kita juga tanpa kecuali, saya sendiri, menteri, KSN (Ketua Setiausaha Negara), KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) untuk mengikuti satu bentuk latihan, kursus peringatan bagi menggilap semangat dan ilmu mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI