LONDON – Kelab peminat No. 1 Chelsea, Chelsea Supporters Trust (CST) memberi amaran bahawa kelab itu akan menjadi bahan jenaka dan menuduh pemilik kelab, Todd Boehly dan pemilik bersama, Behdad Egbhali sebagai ‘toksik’ yang sukar dipulihkan di Stamford Bridge.
Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu ketika ini hanya berada di kedudukan ke-11 saingan Liga Perdana Inggeris menyebabkan beliau, Boehly dan pemainnya, Raheem Sterling menjadi sasaran kritikan para peminat sejak kebelakangan ini.
Selepas berbelanja lebih £1 bilion (RM6.03 bilion), pemilik kelab tersebut membuat keputusan yang tidak popular apabila menaikkan harga tiket perlawanan serta barangan cenderahati menyebabkan para peminat merasakan kelab itu berdepan masalah dari aspek membuat keputusan terbaik.
“Ketika ini, ‘mood’ dalam kalangan peminat berada pada tahap paling rendah dan tidak boleh dibiarkan. Kami bimbang kelab ini akan menjadi bahan jenaka di dalam dan luar padang kerana situasi itu menjadi semakin meningkat,” menurut petikan dalam kenyataan empat muka surat yang dihantar kepada kelab tersebut.
Kumpulan peminat tersebut juga memberi amaran, sekiranya situasi kelab berkenaan tidak berubah, mereka akan melaungkan sorakan berbentuk cemuhan dan ejekan kepada individu tertentu pada perlawanan akan datang, malah berjanji ia akan dilakukan dengan lebih tersusun.
CST juga bimbang kerakusan pihak pengurusan kelab untuk meningkatkan pulangan komersial menyebabkan para peminat terpaksa menanggung akibat dengan peningkatan harga melibatkan perbelanjaan menyaksikan perlawanan di tempat lawan, makanan dan minuman di Stamford Bridge selain tiket perlawanan yang dianggap mahal.
Ketua eksekutif kelab, Chris Jurasek memberikan respons mengenai surat yang dihantar tersebut dengan mengakui bahawa pihak kelab menghargai teguran yang diberikan oleh CST melalui surat berkenaan.
Bagaimanapun, mengulas mengenai peningkatan kos termasuk tiket perlawanan, Jurasek mengakui ia terpaksa dilakukan untuk memastikan kelab itu mampu bersaing dengan para pesaing mereka. – AGENSI