NEW YORK – Amerika Syarikat (AS) mengedarkan draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa ‘gencatan senjata segera berkaitan pembebasan tebusan’ dilaksanakan di Semenanjung Gaza, kata Setiausaha Negara Antony Blinken.
Beliau membuat pengumuman itu semasa rangka lawatan ke Asia Barat termasuk kunjungan ke Israel.
AS yang merupakan sekutu utama Israel sebelum ini menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai perang Gaza yang belarutan selama hampir enam bulan termasuk membantah perkataan ‘segera’ dalam draf gencatan senjata diserahkan oleh Algeria.
Bagaimanapun, Washington meningkatkan tekanan terhadap sekutunya sejak beberapa minggu kebelakangan ini sementara terus bertegas bahawa kumpulan Hamas perlu membebaskan segera tebusan yang ditawan semasa serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
“Kami memiliki resolusi yang kami ketengahkan sekarang ini kepada Majlis Keselamatan PBB untuk menggesa gencatan senjata segera dan dikaitkan dengan pembebasan tebusan. Kami amat berharap negara-negara dunia menyokong draf ini,” kata Blinken di Arab Saudi.
“Saya fikir draf ini menghantar mesej jelas dan kuat,” tambahnya kepada media Arab Saudi, Al Hadath semalam. – AFP