PADANG BESAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis merampas pelbagai jenis periuk dan sudu yang tidak diikrar hasil pemeriksaan ke atas sebuah lori kontena di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada 28 Februari lalu.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, lori kontena bernombor pendaftaran negara jiran tersebut dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun yang bukan warganegara tempatan.
“Hasil pemeriksaan rapi ke atas kotak-kotak tersebut membawa kepada penemuan 618 unit periuk pelbagai saiz dan 16,992 unit sudu berjenama Zebra Thailand,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Padang Besar, di sini hari ini.
Kata beliau, semua barang rampasan itu dianggarkan bernilai RM55,846.80 melibatkan duti dan cukai sebanyak RM14,799.40.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan cara membawa masuk barangan berkenaan bersama dagangan lain yang diikrarkan untuk mengelak dikenakan duti dan cukai.
“Barangan tersebut diletakkan bersama alat ganti kenderaan dan bekas minuman plastik yang diikrarkan, namun berjaya dikesan menerusi mesin pengimbas di Lorong Import Dagangan Jalan Raya (UDJR) Kompleks ICQS,” ujarnya.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 133(1)(e) Akta Kastam 1967 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE