fbpx

Polis serbu pusat operasi judi, 84 diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussien ketika bercakap pada Sidang Media Rampasan Ops Dadu Calling Centre (CC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Subang Jaya. -Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

SUBANG JAYA – P:olis menyerbu sebuah kompleks beli-belah di sini yang dipercayai dijadikan pusat panggilan oleh sindiket perjudian dalam talian dalam Ops Dadu pada Isnin lalu.

Dalam operasi pada pukul 3.15 petang itu, seramai 83 warga tempatan dan seorang rakyat asing diberkas. Mereka direman selama empat hari sehingga 22 Mac ini bagi membantu siasatan.

Difahamkan, sindiket tersebut merupakan antara yang terbesar ditumpaskan pihak berkuasa pada tahun ini.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihaknya merampas 105 buah telefon bimbit, 94 buah komputer riba, enam buah kenderaan mewah serta wang tunai RM15,849.

“Hasil siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menjadikan premis tersebut sebagai tempat untuk menguruskan judi dalam talian.

“Mereka menguruskan platform perjudian itu bagi pasaran negara lain seperti Thailand, Brazil, China dan Vietnam.

“Suspek mengaku mereka diupah sebagai pekerja teknologi maklumat (IT) dengan gaji RM5,000 hingga RM20,000 sebulan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini hari ini.

Hussien berkata, risikan pihaknya mendapati sindiket itu beroperasi secara B2B (perniagaan ke perniagaan) yang bermaksud mereka menjual perisian yang dibangunkan untuk sindiket lain di luar negara

Tambah beliau, sindiket itu juga berselindung di bawah sebuah syarikat IT berdaftar dan membayar gaji pekerja mereka secara sah.

“Walau bagaimanapun, sindiket ini meyakinkan pekerja mereka bahawa apa yang dilakukan itu tidak salah. Malah, mereka (pekerja) diupah untuk membangunkan perisian judi untuk syarikat tersebut.

“Ada antara pekerja tersebut yang pernah ditangkap sebelum ini. Jadi, segelintir tangkapan ini tahu bahawa mereka bekerja dengan sindiket judi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a), 4(1)(c) dan 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalan, mengurus dan mempromosi platform yang berunsurkan perjudian.

“Sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap mesin perjudian dan penjara tidak melebihi tiga tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI