fbpx

Lebih RM2.5 juta sumbangan Aidilfitri untuk petugas ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (lima dari kiri) bersama isteri sewaktu membuka kota sumbangan yang bakal diserahkan kepada 15,000 warga ATM yang bertugas sempena Hari Raya Aidilfitri di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bagi menghargai pengorbanan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), lebih RM2.5 juta disumbangkan kepada kira-kira 15,000 anggota yang bertugas semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Sumbangan itu diberikan oleh 93 penyumbang terdiri daripada syarikat dan individu meliputi serahan kewangan serta barangan keperluan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah keseluruhan sumbangan tahun ini menyaksikan peningkatan
sebanyak 41 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pada saya, peningkatan sumbangan ini menggambarkan dua perkara penting.

“Pertama, ia bukti wujudnya minat dan kemahuan pelbagai pihak, baik sektor korporat mahupun anggota masyarakat untuk bersama-sama menjayakan misi membangunkan ekosistem pertahanan negara yang baik dan berkebajikan untuk semua.

“Kedua, ia adalah satu pengiktirafan dan penzahiran kepercayaan kepada keupayaan dan keberkesanan pihak kementerian dan ATM dalam menguruskan segala sumbangan dengan telus dan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri oleh para penyumbang kepada ATM Tahun 2024 di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan isteri, Puan Sri Ramlah Dawi merangkap Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat).

Tambah Mohamed Khaled, ATM akan mula menghantar sumbangan tersebut secara berperingkat bermula hari ini kepada semua pewira dan perajurit negara yang bertugas di seluruh pelusuk tanah air.

Katanya, ia melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Ini termasuklah mereka yang sedang bertugas di luar negara (PBB). Sama-samalah kita mendoakan agar proses penghantaran ini berjalan lancar dan selamat,” jelasnya.

Pada masa sama, Mohamed Khaled juga berharap agar jumlah sumbangan itu akan terus meningkat pada tahun akan datang sebagai tanda menghargai jasa warga ATM yang berkorban masa dan tenaga untuk memastikan kesejahteraan negara termasuklah meninggalkan keluarga sewaktu menyambut raya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI