JAKARTA – Prabowo Subianto secara rasmi diumumkan bakal Presiden baharu Indonesia selepas menewaskan dua pesaingnya, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo, lapor stesen penyiaran Al Jazeera hari ini.
Prabowo dan bakal naib presiden, Gibran Rakabuming Raka, menang majoriti undian pada pilihan raya Presiden (Pilpres), 14 Februari lalu dengan mendapat 59 peratus undi.
Ia bersamaan 96 juta undi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Umum, Hasyim Asy’ari, lewat semalam.
Anies memperoleh hampir 41 juta undi atau 25 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala Ganjar mendapat 27 juta undi atau lebih 16 peratus.
Prabowo, yang merupakan bekas komander pasukan khas pernah dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia.
Beliau akan mengambil alih jawatan Presiden Joko Widodo (Jokowi), yang merupakan bapa Gibran, pada Oktober ini selepas tempoh peralihan.
Figura berusia 72 tahun itu ‘menyapu bersih’ kemenangan pada Pilpres atas janji untuk meneruskan dasar Jokowi dengan menggunakan populariti Presiden serta platform media sosial seperti TikTok untuk meraih sokongan kumpulan pengundi muda di Indonesia.
Sebelum ini, Prabowo telah pun meraikan kemenangannya dalam Pilpres selepas pengiraan undi tidak rasmi menunjukkan beliau mendahului pesaingnya pada kadar ketara.
“Kita jangan sombong. Kita tidak sepatutnya berbangga, kita masih perlu merendah diri. Kemenangan ini mesti menjadi kemenangan bagi seluruh rakyat Indonesia,” katanya ketika itu dalam ucapan yang disiarkan di televisyen nasional. – AGENSI