fbpx

Kim Pan-gon enggan Harimau Malaya pulang ‘kosong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kim Pan-gon bersama kapten pasukan, Dion Cools menghadiri sidang media sempena aksi menentang Oman sebentar tadi. - Foto ihsan Facebook FAM

PETALING JAYA – Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menyeru untuk anak-anak buahnya mencurah segala keringat agar tidak pulang ‘tangan kosong’ pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman awal pagi Jumaat nanti.

Menurut Pan-gon, semua 24 pemain telah menjalani persiapan pada sesi latihan dengan terbaik dan harap misi untuk mencuri mata berharga dapat direalisasikan.

“Persiapan yang kami lakukan berjalan lancar dan saya yakin pemain bersedia untuk berikan aksi yang berkualiti buat tontonan peminat bola sepak di tanah air.

“Misi kita adalah untuk mencuri satu mata atau kalau boleh dapat kutip tiga mata kembali untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Pemain telah menunjukkan kesetiaan dan mereka sedar bahawa sasaran pasukan adalah untuk berada dalam kelompok 18 negara terbaik Asia (pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026) nanti,” katanya pada sidang media di Muscat, Oman sebentar tadi.

Skuad Harimau Malaya ketika ini mendahului carta Kumpulan D selepas meraih kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan pada tahun lalu dan berpeluang untuk mengukuhkan cengkaman jika melakar kejutan ke atas pasukan No. 80 dunia itu.

Andai meraih enam mata maksimum, pasukan kebangsaan boleh dikatakan sudah meletakkan sebelah kaki ke fasa kelayakan Piala Dunia 2026 yang seterusnya ketika saingan masih berbaki dua perlawanan.

Ini kerana setiap dua negara yang menduduki tangga teratas peringkat kumpulan kali ini akan lolos ke pusingan kelayakan ketiga sekali gus menjadi 18 negara terbaik benua Asia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI