SEBERANG PERAI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak tidak berlebih-lebihan menyentuh isu sensitif berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Beliau berkata, isu ini dikhuatiri digunakan sesetengah pihak untuk membangkitkan sentimen 3R (agama, institusi diraja dan kaum).
Menurutnya, permohonan maaf berhubung isu tersebut telah pun dibuat oleh pihak KK Mart.
“Saya mematuhi titah Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengenai stoking kalimah Allah dan saya fikir jangan lagi bangkitkan perkara sensitif begini.
“Ramai pihak rasa permohonan maaf itu telah dibuat dan kita anggap mereka tidak mengetahui serta tak ada tujuan pun.
“Bila pengilang dah lakukan lawatan, siasatan mendapati bukan kilang itu yang lakukan, sebaliknya ia barangan yang diimport dari China,” katanya kepada pemberita pada Majlis Santuni Kasih Ramadan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di Masjid Jamek Al-Amin Simpang Tiga, Nibong Tebal di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, isu itu wajar dijadikan pengajaran dan diselesaikan sebaiknya supaya tidak disalah tafsir dan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
“Ini suatu pengajaran yang agak mahal dan saya yakin semua pihak patuh kepada titah Tuanku serta kita selesaikan masalah ini dengan sebaiknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE