PETALING JAYA – Seorang lelaki berkongsi keadaan giginya yang patah gara-gara memakan juadah popia goreng yang dibeli di bazar Ramadan.
Menerusi perkongsian, lelaki itu meluahkan rasa kecewa kerana ada peniaga yang tidak pandai memasak, tetapi masih menjual makanan di bazar Ramadan.
Di dalam video itu, lelaki tersebut menunjukkan sebatang giginya yang patah selepas memakan popia goreng.
“Ini gigi aku, ini popia. Kau orang ini berniaga macam mana? Kalau tak tahu memasak, jangan berniaga,” katanya.
Lelaki itu kemudian bertindak menghancurkan popia tersebut dengan menggunakan lesung batu sebelum memakannya.
Di ruangan kapsyen, lelaki itu turut memaklumkan empat biji popia tersebut dijual pada harga RM8.
Tinjauan di ruang kapsyen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan segelintir peniaga yang tidak menjaga kualiti makanan yang dijual kepada orang ramai.
“Keras kehidupan sekarang. Nak makan popia kena tumbuk dulu,” kata Alia.
“Naya buat pelanggan. Peniaga wajib jujur bila berniaga,” kata Airil.
“Sebab itu aku kalau beli kuih yang biasa orang jual sahaja. Maksudnya memang hari biasa pun orang tu jual kuih, banyak peniaga bazar ini setahun sekali saja,” kata Shaifuddin.
Sehingga kini video berkenaan telah ditonton lebih dua juta kali. – KOSMO! ONLINE