MELAKA – Padah memiliki 17 keping wang kertas RM100 palsu, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 20 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Azaraorni Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Md. Ross Louis Hisham Louis, 48, yang mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati bersama-sama dua orang yang masih bebas, memiliki 17 keping wang RM100 yang memakai siri nombor berlainan dengan menyedari ia adalah palsu dan berniat untuk menggunakannya sebagai tulen.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 5.30 petang di tepi Jalan Komersil TAKH 2, Taman Ayer Keroh, dekat sini pada 12 Februari 2022.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya ke atasnya dikenakan bermula daripada tarikh dia ditangkap iaitu 26 November 2023, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom hanya memohon hukuman setimpal diberikan.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah membenarkan rayuan dikemukakan tertuduh dan memerintahkannya dipenjara selama 20 bulan.
Habis.