KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengeluarkan kompaun terhadap tiga peniaga yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk menaikkan harga barangan secara melampau.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, ketiga-tiga kes itu melibatkan kesalahan peniaga di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 selain Akta Timbang dan Sukat 1972.
Menurutnya, sebanyak 1,007 buah premis telah diperiksa meliputi bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya, premis menyediakan bufet Ramadan dan individu menjalankan jualan dalam talian yang menjadi tumpuan awam sejak 1 Ramadan lalu.
“Empat aduan telah diterima sebelum terus disiasat berkaitan isu harga, keberadaan bekalan barangan keperluan pengguna, penggunaan alat timbang dan sukat, perihal halal dan barang tiruan dalam tempoh itu.
“Selain itu, penguatkuasaan juga dilakukan dengan memberi amaran ke atas peniaga bagi memastikan tanda harga barangan jualan dipamerkan dengan jelas dan mudah dilihat oleh pengguna,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Azman memberitahu, seramai 145 anggota penguat kuasa telah digerakkan ke seluruh negeri untuk melakukan pemantauan dan pemeriksaan sepanjang Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, pemeriksaan itu fokus kepada bekalan barangan, harga barangan, jualan murah, penggunaan alat timbang, penjualan barang tiruan dan pematuhan halal. – KOSMO! ONLINE