KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan tarikh 10 dan 11 Jun ini bagi mendengar perbicaraan kes Inspektor Sheila atas pertuduhan mendatangkan kegusaran awam di sebuah pusat beli-belah tahun lalu.
Majistret Illi Marisqa Khalizan turut menetapkan tarikh 16 Mei ini bagi tarikh sebutan status representasi yang dikemukakan Sheila selaku orang kena saman (OKS) untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hamizah Hisan memaklumkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) masih menyemak representasi Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, untuk pertimbangan.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tarikh bicara ditetapkan sementara menunggu keputusan representasi.
Sementara itu, peguam M. Manoharan ketika ditemui memberitahu, sekiranya keputusan representasi itu menyebelahi Sheila, perbicaraan tidak akan dijalankan pada kedua-dua tarikh berkenaan.
Peguam itu turut hairan memandangkan AGC mengambil masa agak lama untuk membuat keputusan kerana pihak pembelaan telah memasukkan semua butiran terperinci berkaitan pertuduhan yang disifatkan remeh.
“Pihak pendakwaan patut menggugurkan pertuduhan terhadap Sheila dan anak guam saya seharusnya dilepas dan dibebaskan,” ujar beliau.
Sheila didakwa memarahi, membunyikan hon kereta dengan panjang atau lama serta menjerit di tempat kejadian sehingga mendatangkan kegusaran terhadap seorang wanita berusia 29 tahun (ketika kejadian).
Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields di sini pukul 5.26 petang pada 16 Jun 2023. – KOSMO! ONLINE