KUALA LUMPUR – Pelakon veteran Datuk Ahmad Tarmimi Siregar mengamalkan tip dipraktikkan negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 98, yang memastikan minda sentiasa ‘bekerja’ walaupun usia sudah lanjut.
Ahmad Tarmimi, 74, berkata, dia juga selalu mengamalkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis demi mendapat kebaikan dari terutama dari segi kesihatan.
“Let your brain work (amalkan otak sentiasa bekerja). Saya ikut kata-kata oleh Tun Mahathir apabila menyarankan agar otak sentiasa berjalan dan berfikir walaupun pada usia lanjut. Jangan duduk sahaja.
“Semasa bukan di bulan Ramadan pun kita disunatkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Untuk rehatkan badan. Jadi saya amalkan perkara itu jika ada kesempatan,” ujarnya.
Berkongsi lanjut tenang Ramadan, Tarmimi memberitahu, dia mengelak untuk duduk berkumpul selepas solat Tawarih kerana tidak mahu turut serta bercerita atau mengumpat tentang orang lain.
“Balik masjid, saya akan terus pulang ke rumah daripada lepak di kedai kopi. Saya pernah bergaduh dengan kumpulan Jemaah masjid kerana mereka kata saya sombong.
“Saya bukan sombong, tapi tak berapa suka dengan cara mereka mengtata dan bercerita (mengumpat) tentang orang lain.
“Jadi lebih baik saya balik ke rumah. Dah elok-elok beribadah di masjid, hujung-hujung mengata orang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tarmimi berkata, dia akan bekerja seperti biasa semasa Ramadan tahun ini, dan akan menjalani pengambaran untuk tiga buah drama sepanjang bulan puasa.
“Ramadan tahun ini saya akan bekerja seperti biasa. Saya akan menjalani penggambaran untuk tiga buah drama.
“Sama seperti orang yang bekerja di pejabat, berlakon juga adalah kerjaya. Jadi ketika bulan puasa, saya kena bekerja juga.
“Tapi saya akan pastikan waktu penggambaran itu dapat dihabiskan lebih awal, supaya berpeluang untuk menunaikan solat sunat Tarawih pada sebelah malamnya,” kata Tarmimi. – KOSMO! ONLINE