fbpx

Murid lelaki gagal saman guru dakwaan dipukul hingga lima jahitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peguam-peguam yang mewakili pihak-pihak keluar dari mahkamah selepas prosiding kes. Foto oleh M.Firdaus M.Johari/Kosmo!

SELAYANG – Seorang pelajar lelaki 13 tahun gagal dalam tuntutan samannya terhadap tiga pihak termasuk seorang bekas guru sekolahnya di sebuah sekolah kebangsaan atas dakwaan memukul pelajar itu hingga menerima lima jahitan di kepala lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Nor Rajiah Mat Zin, membuat keputusan itu selepas menolak saman yang difailkan bapa pelajar tersebut selaku plaintif yang berusia 41 tahun terhadap ketiga-tiga defendan.

Tiga defendan itu ialah iaitu bekas guru sekolah berkenaan yang berusia 60 tahun, guru besar sekolah sama dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Ketika kejadian pada tahun 2019, pelajar itu merupakan murid Tahun Dua yang berusia lapan tahun.

“Daripada keterangan saksi-saksi plaintif, hanya plaintif sendiri (SP1) berada di tempat kejadian dan ia tidak disokong oleh saksi saksi lain. Keterangan saksi plaintif hanya disokong oleh pegawai penyiasat yang merupakan SP2 dan ayah plaintif yang merupakan SP3 yang tidak berada di tempat kejadian semasa kejadian berlaku,” kata hakim itu.

Sementara itu, peguam Azmer Md Saad yang mewakili plaintif ketika ditemui selepas prosiding berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini atau esok.

Defendan pertama diwakili peguam Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim dan Mohd. Zali Shaari manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Aifaa Che Abdullah betindak sebagai defendan kedua dan ketiga.

Pada 17 Oktober 2022, murid berkenaan yang diwakili bapanya, selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan tiga pihak masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, murid itu berkata semasa sesi pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu pukul 3 petang pada 18 Oktober 2019, dia dan juga seorang lagi murid nampak guru berkenaan sedang mengejar seorang lagi rakan sekelasnya sambil memegang sebatang penyapu.

Plaintif ketika kejadian berumur lapan tahun, mendakwa semasa dia dalam perjalanan kembali ke tempat duduk, guru berkenaan secara tiba-tiba memukul kepalanya menggunakan penyapu itu dan dia telah mengalami kecederaan serta pendarahan yang banyak.

Katanya, hasil pemeriksaan di klinik mendapati dia mengalami kecederaan di bahagian atas kepala dan telah menerima lima jahitan serta kepalanya terpaksa dibalut dengan bagi menutup luka.

Sementara itu, defendan pertama yang merupakan guru sekolah dalam kejadian itu menerusi pernyataan pembelaannya berkata
dia tidak pernah memukul kepala plaintif atau murid-murid lain menggunakan penyapu atau mana-mana bahagian penyapu.

Guru berkenaan mendakwa kecederaan yang dialami plaintif adalah akibat kenakalannya sendiri yang mana plaintif telah terhantuk dan terkena bucu kayu (tempat letak kapur) papan hitam lama yang diletakkan papan putih di atasnya ketika plaintif cuba meloloskan diri dari tempatnya tersekat di antara meja guru dengan papan putih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI